Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tengah) yang kini berada kedudukan tiga teratas dalam keputusan Pemilihan UMNO 2023-2026 meninggalkan Menara Dato’Onn di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2023.

KUALA LUMPUR — “Berdebar juga, ini kali pertama bertanding MKT (Majlis Kerja Tertinggi)

“Setakat ini, alhamdulillah berdasarkan keputusan tidak rasmi, saya berada di top 25 sebagai Ahli MKT, insya Allah,” kata Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika ditanya perasaanya ketika ini.

Tengku Zafrul kini berada pada kedudukan tiga teratas dalam persaingan Ahli MKT yang sedang berlangsung.

Meskipun berdebar, beliau kelihatan ceria disapa petugas media malah sempat bergurau ingin melarikan diri dari diburu media yang berkumpul di Menara Dato’ Onn, di sini sejak pagi tadi.

Ini merupakan penampilan pertama Tengku Zafrul yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dalam pemilihan UMNO, sejak mula aktif dalam politik pada 2020.

Terdahulu beliau tiba di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, sekitar jam 12.10 tengah hari tadi dipercayai bagi mengikuti perkembangan pemilihan MKT UMNO.

Setakat jam 1.10 tengahari, Tengku Zafrul calon MKT UMNO yang berada di kedudukan ketiga dengan 157 undi.

Beliau didahului oleh Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (166), dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (163) daripada keseluruhan 95 calon merebut jawatan itu dalam pemilihan UMNO kali ini.

Ketika ini pengiraan undi masih lagi berlangsung. -MalaysiaGazette