Zulkarnain menziarahi warga emas yang terlibat dalam bencana banjir di kawasan Sri Medan baru-baru ini.

ISKANDAR PUTERI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkurnain Kamisan menyifatkan bencana banjir yang berlaku pada awal bulan ini sebagai terburuk sejak 37 tahun lalu.

Katanya, penduduk Sri Medan kini diuji dengan kemusnahan harta benda.

Ada juga mangsa yang hilang mata pencarian selepas ladang-ladang pertanian khususnya tanaman kelapa sawit ditenggelami bah.

“Anda boleh datang dan lihat sendiri di Sri Medan, anda akan menangis apabila melihat kemusnahan luar biasa disebabkan bencana banjir kali ini. Saya ambil contoh yang berlaku Jalan Parit Warijo hampir 99 peratus rumah penduduk tenggelam sepenuhnya.

“Kebiasaan ketika banjir  ianya tidak lebih daripada paras lutut tapi banjir kali ini sampai tenggelam bumbung rumah. Saya sudah tak sanggup nak melihat kesedihan penduduk.

“Untuk itu, saya berharap segala bantuan diumumkan kerajaan negeri dan Persekutuan macam mana yang dihebahkan, tolonglah segerakan. Saya dimaklumkan antara tiga hingga empat bulan baharu dapat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.

Bencana banjir yang berlaku baru-baru ini menjadi ulasan utama yang hampir kesemua soalan lisan dan tambahan serta perbahasan ADUN pada persidangan DUN Johor pada hari ketiga yang berlangsung hari ini.

Dilaporkan lebih 85,000 rakyat Johor dilaporkan terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini dan ianya antara terburuk berlaku dengan Batu Pahat menjadi daerah paling terjejas teruk membabitkan kira-kira 50,000 mangsa.

Dalam pada itu, Zulkurnain menyeru supaya projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sri Medan pernah dibentangkan sebelum ini dilaksanakan segera.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast