Datuk Seri Anifah Aman angkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara untuk satu penggal berkuatkuasa hari ini.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara di sini hari ini.

Dalam satu kenyataan, beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas sokongan dan kepercayaan dalam pelantikan beliau sebagai senator.

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu bersyukur kerana terus diberikan kepercayaan dan peluang meneruskan khidmat untuk rakyat secara keseluruhan dalam kapasiti sebagai Ahli Dewan Negara berkuatkuasa hari ini.

“Saya komited dengan komitmen untuk menegakkan prinsip demokrasi, tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang dan akan bekerja tanpa jemu ke arah kebaikan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Pengalaman dan pengetahuan saya sebagai bekas Menteri Luar dan juga mantan ahli Parlimen akan saya gunakan di Dewan Negara dengan menyumbang kepada perbincangan dan perbahasan bermakna dalam membentuk masa depan negara dan mengukuhkan kedudukannya di persada global,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada minggu lepas, MalaysiaGazette melaporkan Anifah bakal dilantik sebagai senator minggu ini dengan ‘restu’  pemimpin tertinggi terutamanya Perdana Menteri.

Anifah juga baru-baru ini telah dilantik sebagai dilantik oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Penasihat Khas Perhubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing.

Untuk makluman, pada pilihan raya umum lepas, parti PCS mahupun Anifah tidak bertanding sebaliknya beliau hadir memberikan sokongan kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang bertanding.

Untuk makluman, Anifah yang merupakan ahli UMNO keluar parti itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anifah dilantik senator minggu depan?