SEPANG – Usaha menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berada pada kedudukan 10 terbaik dijaikan Indeks Prestasi Utama (KPI) kepada Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang kecewa dengan ranking KLIA yang jatuh ke tangga ke-67 dalam kalangan 100 lapangan terbang pada tahun ini mahu penambahbaikan segera dilakukan.
KLIA berada di belakang Changi Singapura, yang mendahului senarai itu, tetapi mendahului Bangkok Suvarnabhumi dari Thailand, yang berada di tempat ke-68.
Lapangan terbang antarabangsa utama Malaysia itu jatuh lima mata daripada kedudukan ke-62 pada 2022.
Sejak penubuhan ranking pada 1999, KLIA telah muncul antara 10 teratas dalam empat kesempatan berasingan — tempat kedua pada 2001, kelima pada 2010, kesembilan pada 2011, dan kelapan pada 2012.
Sejak itu, ranking KLIA semakin menurun.
Jelas Anthony, MAHB perlu menambah baik perkhidmatan penggerak penumpang automasi atau aerotrain yang kini masih dihentikan buat sementara waktu.
“Selain itu, sistem bagasi juga antara yang menjadi rungutan penumpang. Sistem yang sekarang sudah usang.
“Kita kena faham 25 tahun yang lalu pergerakan penumpang tidak sama dengan sekarang. Semakin tahun semakin meningkat jumlah penumpang, jadi sistem yang ada perlu mampu menampung pergerakan penumpang hari ini,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Plaza Premium Lounge di KLIA.
Selain itu, persekitaran lapangan terbang juga perlu dinaiktaraf supaya memberi keadaan selesa kepada penumpang.
Anthony berkata, cabaran untuk memastikan KLIA mampu menjadi antara lapangan terbang terbaik di dunia merupakan tanggungjawab yang perlu digalas bersama oleh semua pihak termasuklah Kementerian Pengangkutan.
“Bagi saya cabaran yang kita perlu hadapi bersama adalah naikkan semula ranking KLIA,” tambah beliau.
Menurut laman web Skytrax, kejatuhan ranking KLIA didorong pelanggan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk membeli-belah, daftar masuk, ketibaan, pemindahan, keselamatan dan imigresen.
Menyentuh mengenai pembukaan Plaza Premium First dan Plaza Premium Lounge, Loke berkata, perkhidmatan lounge oleh Plaza Premium Group sentiasa menjadi pelengkap yang hebat kepada keseluruhan pengalaman perjalanan di lapangan terbang ini.
“Saya juga faham bahawa Plaza Premium Group sedang melabur dalam ekosistem pengalaman perjalanan yang merangkumi enjin tempahan omnichannel, pusat penglibatan pelanggan dan platform penyampaian perkhidmatan.
“Penggunaan teknologi digital sudah pasti akan membawa tahap keselesaan dan keselesaan baharu kepada penumpang, yang penting dalam mengikuti dunia perjalanan yang pantas,” kata Loke, sambil mengalu-alukan pelaburan kumpulan itu dalam pendigitalan kerana ia sejajar dengan matlamat kementerian untuk menjadikan pengalaman lapangan terbang lebih lancar dan menyeronokkan. – MalaysiaGazette