Senjata keris yang dipercayai digunakan oleh suspek ketika mengamuk dengan bekas majikan jual kereta di Kajang.Ihsan IPD Kajang

KAJANG – Bekas pekerja sebuah syarikat jualan kenderaan yang senjatakan keris bertindak mengugut dan menjadikan jurujual wanita syarikat itu sebagai tebusan.

Tindakan itu dibuat kerana berang apabila syarikat berkenaan tidak membayar komisen jualan kereta seperti yang dijanjikan.

Majikan yang bergelut dengan suspek, cedera selepas terkena keris tetapi berjaya menangkap suspek dan menyerahkannya kepada polis yang tiba di lokasi tersebut di Jalan Semenyih Kawasan Perusahaan Beranang.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan itu pada jam 10.15 pagi pada 18 Mac lalu.

“Suspek mengggunakan keris dan mengarahkan dua pekerja mengikutnya sebagai tebusan ke lokasi yang tidak pasti.

“Majikan pengadu cuba merampas senjata yang dipegang suspek lalu berlaku pergelutan dengan suspek itu sehingga dia luka di tangan akibat terkena keris tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, hasil pemeriksaan badan suspek, polis berjaya menjumpai dadah jenis Eramin 5 dan ujian air kencing ke suspek juga dapati positif.

Suspek kini telah ditahan reman selama empat hari bermula Ahad lalu sehingga 22 Mac ini bagi membantu siasatan lanjut polis dalam kes tersebut.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan jenayah terhadap mangsa dan serta mencederakan mangsa.

Suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Bangi esok, bakal dituduh di bawah Sek 12(2) Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki dadah jenis Eramin 5. – MalaysiaGazette