Mangga Kemboja seberat 50 kg yang cuba dibawa masuk melalui berjaya dipatahkan MAQIS Selangor minggu lalu.- Gambar ihsan Maqis Selangor.

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan warga tempatan yang cuba membawa masuk mangga dari Kemboja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2  berjaya dipatahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Rampasan mangga import itu dianggarkan berat sebanyak 50 kilogram, menurut Pengarah Maqis Selangor, Mohd Sobri Md Hashim hari ini.

“Cubaan sekumpulan warga tempatan itu yang membawa masuk mangga terbongkar hasil kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Kosainan tersebut dikesan dengan bantuan mesin pengimbas kastam kira-kira pukul 6.30 petang sebelum pemeriksaan membawa kepada rampasan mangga.

“Maqis telah merampas mangga itu kerana tidak mempunyai permit import MAQIS serta sijil fitosinasi yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Sobri, perbuatan mengimport produk pertanian tanpa permit yang sah daripada Maqis merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya.

“MAQIS akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke dalam Malaysia adalah bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta tidak akan menjejaskan sektor pertanian negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette