Amidi Abdul Manan

KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden Pas bertajuk PKR Lawan al-Quran didakwa menunjukkan Tan Sri Abdul Hadi Awang memperkukuh fahaman bercitra Khawarij yang ditolak oleh Ahlus sunnah Waljamaah.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR
merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat parti itu, Amidi Abdul Manan merujuk tulisan dalam Minda Presiden Pas baru-baru ini.

“Saya juga cuba mencari di manakah kenyataan yang disebutkan dalam mana-mana ucapan sewaktu penggulungan dalam Kongres Khas PKR 2023.

“Dalam pengamatan saya dan ilmu yang terbatas ini tiada satu pun kenyataan yang dikeluarkan yang sepadan dengan maksud tajuk tulisan Minda Presiden itu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Amidi, pimpinan PKR hanya mahukan keikhlasan dan kesungguhan wakil rakyat Marang dan beberapa ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) itu untuk hadir ke sidang Parlimen.

“Jika wakil Marang hanya sibuk beraksi dengan berpidato di merata tempat tapi tidak ke sidang parlimen, maka itu adalah satu perkara yang bertentangan dengan agama. Agama Islam menitikberatkan soal kesucian dan keberkatan pendapatan.

“Maka apa alasan untuk kita mengambil pendapatan sedangkan kita tidak melaksanakan tugasan yang diwajibkan ke atas kita,” ujarnya lagi.

Menurut Amidi, jika jawapannya adalah Parlimen tidak sama dengan sekolah iaitu tidak perlu hadir setiap hari, maka beliau menekankan Parlimen lebih penting dari sekolah kerana di situ tempat berlakunya semak dan imbang selain punca peraturan dan undang-undang digubal.

“Jika kesepaduan antara agama Islam dan politik yang diperjuangkan maka Parlimenlah tempatnya,” katanya.
Saya percaya jika wakil Marang rajin ke parlimen pada sesi yang lepas, RUU 355 sudah tentu telah dibahas dan diluluskan dengan restu MCA, MIC dan GPS.

“Bukan setakat RUU 355 tidak tertunai tetapi juga wakil Marang terlepas pahala jihad yang besar jika beliau menganggap PM X seorang yang zalim.

Menurut Amidi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada merujuk al-Quran dalam membentangkan RUU Perbekalan bagi tahun 2023, jika Abdul Hadi hadir, beliau yakin Parlimen kita akan bergegar dengan hujah dan dalil dari al-Quran, hadis, pandangan para ulama dan seumpamanya.

“Agak melucukan apabila menuduh PKR mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang bertentangan dengan Islam sedangkan perkara yang serupa dilakukan oleh wakil Marang bersama sekutunya sebelum ini,” ujarnya.

Secara sinikal, beliau berkata, Abdul Hadi mungkin terlupa lafaz ikrar yang dibaca ketika kali pertama bersidang bagi setiap sesi iaitu setiap wakil rakyat perlu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.

“Maka ludahan ke langit akan hinggap di muka sendiri. Sistem pemerintahan di Malaysia semuanya berdiri di atas perlembagaan ini.

“Baik raja, perdana menteri, pegawai dan pentadbir malah para asatizah sekalipun semuanya dinaungi oleh perlembagaan yang dikatakan bertentangan dengan al-Quran oleh wakil Marang.

“Maka saya cabar untuk wakil Marang membuat kenyataan secara jelas menentang Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ulamak mabuk kuasa dah lupa bumi yang dia pijak . dia ingat dah ada dipadang mahsyar dah kot . dia ingat dia memperjuangkan islam padahal dia lah perosak islam . dalam islam dilarang menggelar sahabat kita dengan gelaran tak elok . menyebut nama2 keji dan sifat membenci . padahal ini lah yang orang pas amalkan . segala cerita lama dan keji pehak lawan semua dibangkit kembali untok menyemai kebencian dikalangan rakyat . beginikah islam pas . islam dimulut kafir dihati .nauzubillah

Comments are closed.