Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub . Foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Etika Insuran menjadi institusi pertama memberi reaksi positif terhadap hasrat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk menawarkan inisiatif perbankan bersifat rahmah kepada rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub percaya bank-bank lain akan menyahut hasrat kerajaan yang antara lain memberikan insuran dan pinjaman ala-Menu Rahmah untuk B40 dan golongan tertekan.

“Etika Insuran telah respon. Saya telah minta pegawai libat urus tengok macam-mana kita boleh jayakan insuran rahmah ini sama ada kenderaan, rumah, hartanah dan sebagainya

“Saya yakin macam Menu Rahmah juga bila satu syarikat telah mula akan memberikan kesan domino.

“Kita tengok dulu tawaran terbaik daripada Etika dan saya rasa syarikat lain akan ikut. Jadi kita akan tunggu berita baik,” katanya.

Menurut Salahuddin akan meminta bantuan daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk mengadakan pertemuan dengan pihak perbankan minggu depan.

Beliau ditemui selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kenduri Menu Rahmah yang diadakan di Dewan Serbaguna Parlimen di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melihat antara juadah makanan yang terdapat pada Kenduri Menu Rahmah di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 MAC 2023.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menteri dan ahli-ahli Parlimen lain.

Sebanyak 15 syarikat makanan mengambil bahagian dalam kenduri tersebut yang turut menyediakan menu rahmah di restoran masing-masing.

“Kenduri ini untuk mempamerkan kepada rakyat janji kita bahawa Menu Rahmah bukan hidangan yang lekeh dan low class.

“Kita ucapkan terima kasih kepada semua pemain indusri dari besar hingga kecil yang tidak berkompromi terhadap kualiti dan kuantiti. Rakyat nampaknya semakin mendapat manfaat daripada menu ini,” kata Salahuddin.

Selain itu, kementerian juga akan melancarkan jualan rahmah untuk hari raya Rabu ini di sebuah gedung pakaian yang menawarkan harga rendah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast