Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih mengekalkan dasar tenaga diperbaharui (RE) namun  sedang meneliti untuk mengeksport tenaga baharu, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menjelaskan, penelitian terhadap dasar tersebut dibuat kerana wujud beberapa permintaan daripada kerajaan negeri termasuk dari Sarawak.

Namun kata beliau, sebarang perubahan yang dilaksanakan akan mengambil kira kepentingan negara selain beberapa faktor termasuk perjanjian yang ditandatangani negara luar untuk mengeksport RE.

“Bagi kita bila bercakap tentang dasar (eksport RE), pertama dasar sedia ada iaitu untuk tidak espkort RE itu masih terpakai.

“Cuma pihak kerajaan meneliti kerana ada beberapa permintaan termasuk misalnya daripada Sarawak untuk mengeksport RE.

“Kita hendak melihat kerangka secara keseluruhan dan baru-baru ini kita sedia maklum negara Kemboja dan Indonesia ada menandatangani sama ada Perjanjian persefahaman (MoU) dengan Singapura untuk eskport RE.

“Penjelasan kita mudah dalam hal ini, sekiranya kita ubah dasar eksport RE ini, pertama sekali itu mesti dilakukan mengikut terma Malaysia,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) sama ada kerajaan akan mengubah dasar RE yang dilihat banyak membantu kemasukan industri RE apabila tidak dieksport keluar.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, jika terdapat perubahan kepada dasar tersebut setelah penelitian dilakukan, pihaknya tidak bercadang untuk mengeksport secara keseluruhan.

Sebaliknya, sebahagian sahaja yang berkemungkinan akan dieksport ke Singapura, sementara sebahagian lagi akan disalurkan ke industri dalam negara.

“Apa juga keputusan yang dibuat, kita akan melihat kepentingan negara, kita bukan nak jual semua kalau ya pun. Kita boleh jual kepada singapura sebahagiannya dan selebihnya disalurkan kepada industri di negara kita,” jelasnya. – MalaysiaGazette