Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng hari ini tampil memohon kepada orang ramai supaya ‘berhenti’ menderma kepadanya selepas jumlah RM2.5 juta telah berjaya dikutip.

Derma tersebut bertujuan untuk membayar ganti rugi dan kos selepas kalah dalam saman fitnah kepada firma e-dagang Monspace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya, Jessy Lai seperti yang telah diperintahkan Mahkamah Tinggi pada minggu lepas.

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Lip Eng turut memberikan jaminan kepada yang menderma dan menyokongnya bahawa setiap nilai derma itu akan ada akauntabiliti.

“Kita sudah capai sasaran RM2.5 juta. Tolong jangan derma lagi.

“Saya tidak dapat berterima kasih kepada semua orang untuk kebaikan dan bantuan yang dihulurkan pada waktu yang sukar ini. Saya terharu dengan kemurahan hati kamu.

“Seorang juruaudit bertauliah akan dilantik bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti terhadap derma yang dikutip,” katanya.

Pada minggu lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Lip Eng untuk membayar RM2.5 juta selepas didapati memfitnah syarikat MonSpace (M) Sdn. Bhd. dan pengasasnya, Jessy Lai enam tahun lepas.

Hakim Datuk Akhtar Tahir ketika menyampaikan penghakiman kes itu turut memerintahkan pemimpin DAP itu untuk memohon maaf dalam masa tujuh hari bermula hari ini.

Kata Akhtar, Lip Eng yang merupakan defendan sebenarnya telah mencemarkan nama baik syarikat dan pengasasnya dan perkara itu juga telah diakui olehnya.

“Kenyataan oleh defenden jelas menggambarkan bahawa plaintif telah merasuah pegawai kanan kerajaan dan plaintif telah menjalankan perniagaan yang melanggar undang-undang termasuk menipu 19 warganegara China.

“Defendan juga tidak nafi beliau telah buat kenyataan tersebut dan ianya telah diterbitkan,” katanya dalam prosiding atas talian hari ini,” kata hakim.

Dalam pada itu, Lip Eng berjanji  jika beliau berjaya dalam rayuan dan boleh menuntut semula ganti rugi berkenaan, dirinya akan menderma kesemuanya kepada pertubuhan kebajikan dan pendidikan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahkamah perintah Lip Eng bayar RM2 juta fitnah MonSpace

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast