Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

KUANTAN – Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menyifatkan pemilihannya selaku Ketua UMNO Bahagian Pekan yang baharu sebagai satu pengiktirafan kepada perkhidmatannya dalam parti.

Setelah 41 tahun UMNO Bahagian Pekan diterajui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau mengakui tanggungjawab dan mandat yang diberi itu adalah satu tugas yang amat berat untuk dipikul.

“Kemenangan saya adalah keputusan sebulat suara daripada perwakilan yang hadir. Ini satu pengiktirafan kepada saya yang mengambil alih kawasan diterajui dua Perdana Menteri sebelum ini iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak dan Datuk Seri Najib.

“Sudah tentu mereka juga inginkan satu kepimpinan baharu untuk meneruskan UMNO Bahagian Pekan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU 16) nanti.

“Jadi, berbekalkan pengalaman saya selaku ADUN dan Exco selama dua penggal, saya pasti Insya Allah kita akan pastikan UMNO Bahagian Pekan terus ke hadapan pada masa akan datang,”  katanya selepas merasmikan program Sesi Focus Group Discussion (FGD) di Dewan Majlis Bandar Raya Kuantan (MBK), di sini hari ini.

Beliau turut menyeru setiap ahli UMNO di Pekan bersatu padu dan memberi kerjasama yang baik bagi membina semula kekuatan parti dalam menghadapi pilihan raya.

Fakhruddin yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar itu memperoleh 449 undi dalam Pemilihan UMNO sesi 2023-2026,  menewaskan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly. – MalaysiaGazette