JPU 2023 mengecualikan kiraan undi dari UMNO Bahagian Johor Bahru kerana berlaku kekhilafan dalam proses pengundian.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Walaupun keputusan rasmi pemilihan Jawatankuasa UMNO bagi penggal 2023-2026 telah diumumkan malam tadi tetapi masih ada bahagian ditangguhkan persidangan kerana beberapa sebab tidak dapat dielakkan.

Antara bahagian yang diarah mengadakan mesyuarat semula ialah Pemuda Titiwangsa, Pemuda Jempol manakala persidangan perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru ditangguh dan digantung sementara.

Dua bahagian Pemuda yang hilang hak mengundi pada Sabtu lalu ialah Pemuda UMNO Ampang dan Pemuda Wangsa Maju.

Sebab bahagian berkenaan diarah adakan mesyuarat semula dan hilang hak mengundi tidak dilaporkan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023-2026.

Namun penangguhan dan juga penggantungan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Johor dibuat selepas dikesan berlaku perbezaan ketara antara bilang undi dengan jumlah perwakilan yang disahkan hadir.

Menurut Pengerusi Tetap UMNO Bahagian itu, Azmi Samin, pihaknya mendapati jumlah undi diperoleh calon bagi jawatan ketua, timbalan dan naib bahagian berbeza dengan bilangan perwakilan yang direkodkan sebelum persidangan bermula.

Katanya, berdasarkan rekod jumlah perwakilan yang hadir secara sah dan rasmi sebelum pemilihan diadakan pada 18 Mac lalu seramai 525 orang.

Namun ketika sesi proses pengiraan undi bagi tiga jawatan yang dipertandingkan itu, menunjukkan perbezaan ketara dengan jumlah kehadiran perwakilan.

“Urusetia JPU telah menyediakan bilik khas dan tertutup bagi proses pengundian yang bermula kira-kira jam 4 petang pada Sabtu lalu,” katanya.

Pada jam 6.15 petang, kiraan tidak rasmi JPU bagi jawatan Naib Ketua Bahagian ialah Calon 01 mendapat 304, Calon 02 (217), Calon 03 (51) dan undi rosak (13) dengan jumlah keseluruhan pembuangan undi 585.

“Di sini sudah berlaku lebihan sebanyak 60 undi, sedangkan perwakilan yang disahkan hadir dan layak mengundi adalah seramai 525 orang, tetapi bilangan undi 585,” katanya.

Bukan itu sahaja, pada pukul 7.45 malam, ketika kiraan tidak rasmi JPU bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian, Calon 01 mendapat 294 undi, Calon 02 sebanyak 269 undi dan undi rosak 11 dengan jumlah keseluruhan undian 574.

Bagaimanapun, berlaku lebihan undi sebanyak 49 undi.

Namun pada pukul 8.45 malam, selepas kiraan tidak rasmi JPU bagi jawatan ketua bahagian pula, calon 01 menperoleh 301 undi, calon 02 mendapat 287 undi dan tiga undi rosak dengan jumlah keseluruhan undian sebanyak 591.

Selepas JPU meneliti hasil keseluruhan undi bagi tiga jawatan  didapati ketidakseragaman jumlah undi yang begitu ketara dan juga perbezaan angka perwakilan yang hadir secara rasmi sebagaimana diumumkan Timbalan Pengerusi Tetap pada sesi awal.

Oleh kerana, wujudnya pelbagai kemusykilan, keraguan dan ketirisan yang begitu ketara terhadap jumlah kertas undi, JPU telah menyarankan kepadanya, agar menggantung persidangan sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Justeru, pada jam 10.30 malam itu, beliau menetapkan mesyuarat itu ditangguhkan. – MalaysiaGazette