Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.-Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ujian pembayaran tol tanpa berhenti menggunakan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) akan dilaksanakan tahun hadapan sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2025.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sistem itu amat diperlukan bagi mengatasi kesesakan kerana sejumlah empat hingga lima juta kenderaan melalui plaza tol setiap hari.

“Kita nak melancarkan perjalanan trafik khusus di plaza tol. Selaras dengan pelan induk sistem pengangkutan pintar kementerian kerja raya.

“Ia memberi impak positif terhadap kesesakan semasa yang terus meruncing terutama kawasan tol yang melimpah. Ini adalah kerana pengguna tak perlu perlahan atau memberhentikan kereta.

“Dalam usaha ini kita memerlukan masa lebih kurang setahun setengah atau dua tahun. LOI atau leter of intend telah dikeluarkan kepada konsesi terlibat untuk memastikan kajian itu dapat berjalan dengan lancar,” kata Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian ketika sesi pengulungan Belanjawan 2023 Kementerian Kerja Raya Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Menurut Abdul Rahman pelaksanaan sistem itu bakal menelan belanja sebanyak RM3.46 bilion.

Beberapa ahli Parlimen ketika sesi perbahasan membangkitkan isu kesesakan di plaza tol berikutan penggunaan sistem yang disifatkan sebagai ketinggalan zaman.

Abdul Rahman menambah, pengenalan MLFF tidak akan memberikan sebarang kesan terhadap kadar tol.

” Sebagai persediaan kepada penggunaan sistem MLFF, kementerian akan memperkenalkan sistem pembayaran terbuka di lebuh raya dalam masa terdekat.

“Sistem ini membolehkan pengguna membuat pilihan pembayaran melalui kad kredit, kad debit berbanding Touch&Go pada masa kini,” kata Abdul Rahman.

Media pada Oktober 2022 melaporkan Kementerian Kerja Raya menyasarkan untuk memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa henti yang dikenali sebagai Aliran Bebas Pelbagai Lorong menjelang 2025 dalam usaha mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Datuk Seri Fadillah Yusof yang merupakan Menteri Kerja Raya pada waktu itu berkata, cadangan itu sudah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Dengan pelaksanaan MLFF, kenderaan tidak perlu berhenti untuk membayar tol dan tiada palang tol.

MLFF antara inisiatif di bawah Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) 2019-2023 Kementerian Pengangkutan yang dibangunkan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan memacu pembangunan aplikasi ITS di negara ini.-MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast