ALOR GAJAH – UMNO Melaka akan melakukan penstrukturan semula parti bagi memastikan calon bahagian yang menang pada pemilihan Sabtu lalu disokong jentera di peringkat akar umbi demi menjamin kemenangannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusi Perhubungannya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau bagaimanapun masih menunggu keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengeluarkan senarai baharu itu.
“Sudah pasti akan ada struktur baharu untuk menjamin jentera parti bersedia berhadapan PRU agar ianya berjalan lancar dengan kemasukan tokoh-tokoh baru yang memegang jawatan dalam keputusan pertandingan Sabtu lepas.
“Saya secara terbuka menunggu keputusan Presiden (Ahmad Zahid) mengenai susun atur kedudukan jentera UMNO negeri untuk diperhalusi dan diperbaiki bagi menghadapi PRU akan datang,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.
Ditanya adakah beliau sudah mengemukakan beberapa nama menggantikan jawatan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada pemilihan Sabtu lalu, Ab Rauf berkata, ia terpulang kepada presiden parti.
“Itu (jawatan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri) terserah pada presiden untuk kenal pasti di antara tokoh-tokoh yang baik dalam kalangan yang terbaik.
“Kepada yang tewas, sokonglah pemimpin baharu kerana kalah dalam keluarga perjuangan kita yang sebenarnya adalah untuk mengukuhkan parti dalam menghadapi pilihan raya,” katanya.
Pengundian Sabtu lalu menyaksikan semua tiga penyandang di tiga bahagian yang dipertandingkan gagal mempertahankan jawatan mereka yang dirampas calon lebih muda.
Mereka yang tewas adalah Mohamad Ali apabila dimenangi pencabarnya, Datuk Rais Yasin manakala Datuk Hasan Abd Rahman (Bahagian Jasin) digantikan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam,Datuk Zaidi Attan turut tewas di Bahagian Jasin yang menyaksikan saingan empat penjuru.
Turut gagal dalam saingan Ketua Bahagian adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman apabila jawatan itu dimenangi Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Fairul Nizam Roslan yang tidak memegang jawatan dalam Exco negeri.
Tiga Ketua UMNO bahagian di negeri ini masing-masing mengekalkan jawatan adalah Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Masjid Tanah)Datuk Abd Razak Abd Rahman (Kota Melaka) dan Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (Hang Tuah Jaya) apabila tiada pencabar pada pemilihan kali ini. – MalaysiaGazette