Mohamed Khaled pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi membangunkan Pusat Edutourism antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Syarikat Farm Fresh Berhad (FFB), di sini hari ini.

SERDANG – Pihak universiti diminta agar tidak terlalu bergantung harap kepada pihak kerajaan untuk melaksanakan sesuatu perkara.

Sebaliknya, universiti boleh menjana sesuatu melalui kolaborasi dengan syarikat-syarikat swasta yang sememangnya berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak universiti, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Sebab itu dalam kementerian, kita sentiasa tekankan pihak universiti jangan hanya mengharapkan kepada kerajaan.

“…(mereka) boleh lihat pada syarikat…banyak syarikat yang mahu bekerjasama dengan universiti yang mahu melabur dalam universiti, supaya pada akhrinya dia menang-menang kerana dia akan dapat bakat terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi membangunkan Pusat Edutourism antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Syarikat Farm Fresh Berhad (FFB) di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman dan Ketua Pegawai Operasi FFB, Azmi Zainal.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pengajian Tinggi mengalu-alukan kerjasama syarikat swasta untuk saling melengkapi antara satu dengan yang lain.

Mengambil contoh apa yang dilakukan UPM dengan FFB, beliau berkata, universiti-universti lain juga boleh mengikut jejak sama.

Ujarnya, universiti boleh memindahkan ilmu melalui graduannya
manakala industri pula dapat manfaat yang mempunyai hubung kait dengan pengetahuan yang disalur oleh para graduan berkenaan.

“Apa sahaja ilmu itu boleh dimanfaatkan dengan UPM dan apa yang dinikmati boleh dipindahkan kepada masyarakat.

“…Kerana diluar sana ada juga masyarakat kecil atau besar yang juga terlibat membela lembu dan sebagainya,” katanya.

Tambah Mohamed Khaled, mahasiswa bukan sahaja diberikan latihan menerusi buku tetapi mereka juga melakukan kerja-kerja lapangan apabila didedahkan.

Katanya lagi, menerusi pendedahan edutourism juga ramai yang akan datang untuk melihat apa yang dilakukan agar timbul minat untuk mereka terlibat dalam industri pertanian sekaligus dapat mendekat masyarakat dengan universiti. – MalaysiaGazette