Muhamad Razak (enam dari kanan) bergambar selepas merasmikan Seminar Peradaban Islam Dalam Ketamadunan Malaysia anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Universiti Malaysia, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited menerapkan konsep Malaysia Madani ke dalam semua tadbir urus kerajaan dan mengajak rakyat ikut serta memahami dan menghayatinya demi membina semula negara tercinta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Malaysia Madani bermaksud keterlibatan bersama antara kerajaan dan rakyat dalam setiap aktiviti kehidupan secara aktif dan berkesan.

Katanya, negara yang bertamadun berdiri teguh di atas tonggak kebersamaan dan saling mempercayai seperti yang diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW ketika membina negara Madinah.

“Setiap kaum diakui, diberi hak dan mendapat layanan yang adil sehingga tiada sesiapa yang dipinggirkan.

“Kita menyedari, dalam usaha kerajaan menerangkan konsep Malaysia Madani kepada pegawai kerajaan dan rakyat, penglibatan para ilmuan harus dilibatkan secara aktif khususnya ahli akademik dan mahasiswa di universiti awam dan swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan setiausaha politiknya, Dr Muhamad Razak Idris ketika merasmikan Seminar Peradaban Islam Dalam Ketamadunan Malaysia anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Universiti Malaysia hari ini.

Katanya lagi, untuk mencapai kejayaan al-Falah dalam hidup bernegara khususnya di Malaysia, Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama telah digarap bersesuaian dengan slogan Membangun Malaysia Madani.

Ujarnya, ia memfokuskan kepada lima teras meliputi Pentadbiran Islam mampan, kesejahteraan insan, kemuliaan syariah, kepimpinan berdaya cipta, dan kehormatan Institusi Islam.

“Harapan saya agar seminar pada hari ini menjadi langkah pertama dan contoh pemula kepada perubahan menyeluruh di kalangan masyarakat bagi menjayakan gagasan Membangun Malaysia Madani.

“Semoga Allah memberi ganjaran yang besar kepada perintis jalan kebaikan selari dengan sabda Baginda SAW,” ujarnya. – MalaysiaGazette