Logo KWSP

KUALA LUMPUR РKerajaan kini sedang memuktamadkan Inisiatif Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 untuk memberi ruang kepada ahli yang mempunyai simpanan  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi terdesak untuk mendapatkan sumber kewangan tunai, tanpa perlu membuat pengeluaran daripada simpanan KWSP mereka.

Kementerian Kewangan berkata, inisiatif program ini akan memberi kemudahan untuk ahli KWSP menggunakan baki simpanan dalam Akaun 2 sebagai sandaran bagi mendapat pembiayaan daripada institusi perbankan.

Jelasnya, inisiatif ini tidak akan membebankan rakyat kerana kadar faedah (konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang akan dikenakan oleh institusi perbankan yang terlibat di dalam inisiatif ini dijangka di antara 4% hingga 5% setahun.

Menurut kementerian itu, kadar ini adalah jauh lebih rendah daripada kadar pasaran semasa pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan yang dikenakan pada
sekitar 8% hingga 15%.

“Inisiatif ini juga tidak bercanggah Seksyen 51, Akta KWSP 1991 kerana baki simpanan dalam Akaun 2 hanya digunakan sebagai sandaran melalui pengeluaran pada umur persaraan.

“Ini adalah selaras dengan objektif pelaburan KWSP sebagai sebuah dana persaraan jangka panjang untuk melindung dan menambah nilai simpanan ahli melalui pengisytiharan kadar dividen yang stabil dan mampan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kementerian Kewangan menjelaskan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini yang sekali lagi menegaskan simpanan KWSP adalah untuk masa depan pencarum.

Oleh itu, kerajaan tidak akan pertimbangkan sebarang pengeluaran tambahan baharu KWSP kerana pengeluaran khas tersebut merupakan langkah untuk membendung impak Covid-19.

Tambahnya, menurut Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), semua negara yang telah membenarkan pencarum untuk mengeluarkan sebahagian daripada tabung persaraan mereka semasa pandemik telahpun memberhentikan fasiliti pengeluaran awal daripada tabung persaraan sejak 2021.

Kementerian Kewangan berkata, maklumat terperinci mengenai inisiatif ini akan diumumkan oleh KWSP kelak. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. pekerja simpan duit dalam kwsp, dan kwsp simpan duit dalam bank, dan bank bagi pinjam pada pekerja. Siapa yang untung?

  2. nak DUIT sendiri kena cagar ke Bank?
    rakyat sarankan ahli politics PH dan UMNO terima GAJI dan ELAUN terus CAGAR KE BANK setiap bulan… nak guna bayarlah 5% bukan membebankan pun ..
    rakyat kata CERDIK tak?

Comments are closed.