Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan melawat tapak pameran ketika hadir ke Majlis Perasmian Pra Pelancaran Hari Usahawan Negera 2023 di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 21 MAC 2023.

PETALING JAYA – Rakyat perlu jadikan keusahawanan sebagai kerjaya utama, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ini kerana bidang keusahawanan merupakan salah satu langkah untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

Menurut beliau, rakyat yang berpendapatan tinggi mempunyai peranan membantu membangun dan memajukan negara.

“Kita ingin rakyat berpendapatan tinggi. Sekarang rakyat mengeluh kos sara hidup sebab harga barang dan pendapatan mereka tidak mencukupi.

“Dalam masa yang sama, apa yang berlaku  sekarang yang ada ada ijazah dapat  gaji taraf Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),  rakyat makan gaji dan tidak jadi usahawan. Kita nak rakyat Malaysia pilih usahawan sebagai kerjaya utama

“Negara lain maju kerana rakyatnya ramai jadi usahawan. Semakin ramai usahawan di sesebuah negara lagi cepat negara itu maju,” katanya ketika sidang media selepas  menyempurnakan Pra-Pelancaran Hari Usahawan Negara (HUN) 2023 yang akan diadakan pada 28 hingga 30 Julai ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan melawat tapak pameran ketika hadir ke Majlis Perasmian Pra Pelancaran Hari Usahawan Negera 2023 di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 21 MAC 2023.

Sehubungan itu kata Ahmad, HUN perlu diiktiraf menjadi acara rasmi yang diadakan setiap tahun agar dapat menyebar luaskan kesedaran tentang kepentingan bidang keusahawanan.

Sementara itu Ahmad dalam ucapannya berkata, usahawan perlu mempunyai ilmu perniagaan.

Jelas beliau, tanpa ilmu, usahawan akan berhadapan dengan risiko kegagalan dalam perniagaan.

“Saya lihat antara jatuh bangun usahawan adalah kerana ilmu yang mereka ada. Tidak cukup ilmu jadikan diri mereka usahawan yang berjaya. Timbalah ilmu perniagaan,” tambah beliau.-MalaysiaGazette