Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyediakan pelan pemusatan bagi kaedah mempromosi produk pelancongan domestik.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, ini kerana kaedah sedia ada hanya memberi tumpuan kepada produk pelancongan mengikut negeri dan tidak bersifat menyeluruh.

Menurut beliau, pelan promosi baharu itu akan diseragamkan mengikut wilayah selain membabitkan pelbagai agensi berkaitan.

“Pelbagai tarikan di negara ini kurang berjaya dipromosi secara berkesan berikutan tiada bidang pengkhususan menyebabkan kekeliruan terutama dalam kalangan pengembara.

“Masalahnya dari dahulu, setiap negeri cuba mempromosikan produk mereka, sekali gus tiada bidang spesifik boleh dipromosikan.

“Kita akan pastikan negeri yang ada persamaan atau berhampiran bekerjasama untuk membuat pemasaran, membabitkan keseluruhan wilayah berkenaan.

“Contohnya di Pantai Timur, mungkin Kelantan dan Terengganu perlu bekerjasama mempromosi produk di kedua-dua negeri secara mendalam,” katanya.

Beliau menjawab celahan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat Jawatankuasa bagi kementerian di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata, peruntukan khas bernilai RM30 juta berkemungkinan dibelanjakan bagi penambahbaikan hotel bajet dan inap desa yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Bagaimanapun, jelas beliau, perincian peruntukan khas itu belum dikemukakan Kementerian Kewangan selain menjelaskan nilai berkenaan boleh digunakan bagi tujuan lain.

“Kita ada bajet khas untuk tahun ini dan kemungkinan besar akan diperuntuk secara geran padanan bagi pembaikan hotel bajet dan inap desa (terjejas akibat banjir),” katanya menjawab celahan Datuk Jalaludin Alias (BN-Jelebu). – MalaysiaGazette