Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pembabitan 60 syarikat swasta yang menampung pembiayaan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET)  ketika ini memberi peluang kepada rakyat menyertainya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu sudah berjalan dan ia turut membabitkan pelbagai syarikat multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Antara syarikat yang terlibat antaranya adalah Sunway Berhad, Berjaya Corporation Berhad, syarikat dalam Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) dan Telekom Malaysia (TM).

Kumpulan Syarikat Albukhary pula telah menawarkan secara khusus untuk membantu mengambilalih TVET di Pekan, Pahang dan Tanjung Malim, Perak.

“Kita minta syarikat bantu secara langsung sama ada projek rakyat miskin dan dalam kes ini secara khusus (membantu) TVET.

“Kerana TVET ini melatih anak muda kita, Melayu dan bumiputera untuk tingkatkan kemahiran bagi mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik dan upah atau gaji lebih tinggi,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat  hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang ingin tahu jika terdapat syarikat besar lain yang menyumbang keuntungan kepada rakyat.

Menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berkenaan cukai sepatutnya digunakan untuk membantu golongan susah, Anwar berkata, pendekatan kerajaan sekarang berbeza kerana syarikat besar diminta menyalurkan bantuan kewangan secara terus kepada golongan sasar bukan memberi sumbangan kepada parti politik atau individu perseorangan.

“Saya memilih memanggil Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, memberi manfaat kepada negara dan bagi kepentingan pesawah miskin, (saya) minta beliau derma kepada pesawah secara langsung.

“RM60 juta kepada pesawah dan dengan 30 peratus keuntungan yang dicatat lebih 20 tahun, ini kali pertama minta dia berikan 30 peratus keuntungan bersih kepada pesawah padi,” katanya. – MalaysiaGazette