pinjaman KWSP
Wee Ka Siong (paling kiri) berbincang dengan Anwar Ibrahim mengenai isu pinjaman bercagar KWSP di lobi bangunan Parlimen, hari ini. (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mencadangkan agar margin pinjaman bank ditetapkan pada kadar 100 peratus berdasarkan cagaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ia juga dijadikan dalam bentuk simpanan tetap.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, para pencarum KWSP bimbang tentang kelaziman bank-bank perdagangan yang hanya memberi margin pinjaman sebanyak 70 peratus sahaja ke atas cagaran.

Ka Siong memberitahu, situasi itu dilihat hanya memberi kelebihan kepada bank manakala kadar faedah juga dibimbangi terlalu tinggi sehingga memberi kesan kepada pencarum.

“Justeru, saya mohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneliti kebimbangan-kebimbangan yang sering dibangkitkan oleh ahli KWSP yang terdesak dan memerlukan perhatian ini.

“Apa yang penting, perlu ada garis panduan serta kriteria dan kelayakan memohon yang jelas berhubung inisiatif ini,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau mengulas mengenai perbincangannya dengan Anwar di lobi bangunan Parlimen hari ini berhubung isu pencarum membuat pinjaman bank dengan mencagarkan simpanan KWSP mereka.

Terdahulu, dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, Anwar menjelaskan, kepentingan peminjam masih dipelihara melalui kaedah berkenaan apabila dividen masih diterima dalam KWSP walaupun dijadikan cagaran.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menyatakan, cadangan itu tidak bercanggah dengan Seskyen 51 Akta KWSP. – MalaysiaGazette