Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika melancarkan Jualan Kurma Rahmah di Syabab Dates, Bangi yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

BANGI – Sistem pembayaran terbuka dimonopoli Touch n Go (TNG) terutamanya di seluruh lebuh raya dilihat tidak memperbaiki kelemahan sedia ada.

Justeru, isu itu akan dibawa dalam perbincangan melibatkan tiga kementerian.

Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya bercadang agar pembayaran melalui kad kredit dan kad debit dapat diperluaskan.

“KPDN, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kerja Raya akan bincang isu ini untuk mudahkan rakyat buat bayaran parkir, lebuhraya dan seumpamanya, Di lebuh raya, kita hanya nampak TNG, RFID dan SmartTag, tiada sistem lain.

“Apa salahnya pengguna boleh guna kad kredit, kad debit dan tidak hanya perlu guna TNG yang ada isu besar hari ini dengan kad itu pun susah dapat serta ada masalah servis,” katanya selepas pelancaran Jualan Rahmah Syabab Dates di sini hari ini.

Bagaimanapun, Salahuddin memberitahu, kerajaan tidak pernah bercadang untuk menamatkan perkhidmatan syarikat itu dan ia masih boleh diguna pakai.

“Kita ada pilihan lain, kad pengenalan pun boleh guna buat pembayaran dan itu sudah dikira konvensional. Kami mula ambil langkah untuk tambah di laluan tol agar ada satu lagi sistem tanpa terminate TNG dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau menambah, kementeriannya sentiasa bertindak secara adil tanpa menghukum syarikat tersebut secara melulu apabila KPDN telah libat urus bersama TNG dengan empat kali rundingan supaya rungutan rakyat diselesaikan.

Semalam, MOT telah mengarahkan semua agensi termasuk operator pengangkutan awam bawah kementerian itu mengaplikasikan satu sistem pembayaran terbuka dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Ia berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan khidmat monopoli TNG mungkin ditimbang semula kerana dilihat tiada kemajuan meyakinkan dalam sistem itu.

Kelmarin, Anwar berkata, TNG sudah beroperasi selama dua dekad namun dilihat tidak meyakinkan selain tiada perkembangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast