Asyraf Wadji menyerahkan watikah pelantikan kepada Muhammad dan Noor Azlan.

KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim dan pakar ekonomi Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali dilantik sebagai Ahli Majlis MARA.

Pelantikan tersebut telah ditandatangani oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang mengumumkan pelantikan itu hari ini berkata, pelantikan berkuatkuasa hari ini untuk tempoh dua tahun selaras dengan peruntukan Seksyen 2(c) dan Seksyen 6 Akta MARA 1966.

Menurut Asyraf Wajdi, menjadi keutamaan beliau untuk membentuk sebuah Majlis MARA yang teguh dan dianggotai oleh tokoh-tokoh yang dihormati dan berintegriti.

Tokoh terbabit juga mempunyai kepakaran di dalam bidang yang berkait rapat dengan mandat MARA sebagai sebuah agensi amanah Kerajaan yang unggul bagi pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera.

“Saya yakin penyertaan Tan Sri Muhammad Ibrahim dapat memberi nilai tambah yang signifikan kepada Majlis MARA khususnya dalam memastikan keberkesanan aspek tata kelola, tadbir urus, integriti.

“Termasuk membantu mencorakkan hala tuju MARA dan institusi-institusi di bawahnya termasuklah aspek tadbir urus dan tata kelola pelaburan di bawah anak-anak syarikat dan subsidiari,” kata Asyraf Wajdi.

Tambah Asyraf Wajdi, beliau terharu dan bangga kerana Muhammad yang merupakan bekas ‘boss’ di BNM sudi dan bersedia menerima pelawaan untuk membantu.

Mengenai pelantikan Noor Azlan, Asyraf Wajdi berkata, beliau yakin sumbangan bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan itu amat penting dan signifikan bagi MARA dan negara.

“Saya amat teruja dengan kesudian Yang Berbahagia Prof. Tan Sri untuk membantu saya selaku Pengerusi dengan menganggotai sebagai Ahli Majlis MARA bagi merealisasikan maksud dan matlamat penubuhan MARA itu sendiri.

“Sudah pasti kepakaran Tan Sri dalam isu sosio-ekonomi khususnya kesenjangan rakyat di luar bandar amat bernilai di dalam perancangan jangka panjang MARA,” kata Asyraf Wajdi.-MalaysiaGazette