Rafizi Ramli. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Keadaan ekonomi negara pada tahun ini diyakini kekal kukuh dan stabil meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidakstabilan ekonomi global.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia berdasarkan kepada data yang ditunjukkan mengenai sektor ekonomi negara yang dilihat semakin pulih kecuali pertanian.

“Berdasarkan unjuran dan data prestasi ekonomi sekarang, InsyaAllah kita tidak akan menjadi lebih teruk daripada zaman Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perikatan Nasional) menjadi Perdana Menteri.

“Jadi, kalau Pagoh kata mengatakan bahawa kedaaan pada tahun ini akan menjadi lebih teruk daripada sebelum ini, data-data ekonomi yang ada itu tidak menyokong apa yang disebut Pagoh,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin meminta Rafizi menyatakan langkah lain yang diambil kerajaan untuk pemulihan ekonomi perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) susulan tiada pakej rangsangan ekonomi akan dilaksanakan kerajaan dalam tempoh ekonomi mencabar tahun ini.

Jelas Rafizi, faktor utama kerajaan enggan mewujudkan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kerana tidak mahu negara terus dibebani hutang.

“Walaupun Pagoh mengatakan kerajaan boleh memperuntukkan RM200 hingga RM300 bilion (untuk pakej rangsangan ekonomi) tetapi (Pagoh) tidak sedar bahawa kami terpaksa mewarisi satu beban hutang yang besar.

“Sebab itulah dalam suasana ekonomi yang sudah pun melepasi endemik dan juga bagi memastikan kita menangani cabaran antarabangsa, cara terbaik adalah mengimbangi antara suntikan dan bantuan dengan mengukuhkan keadaan fiskal negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast