Liew Chin Tong -Foto AFFAN FAUZI, 04 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Cadangan gaji permulaan sekurang-kurangnya RM3,000 untuk graduan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu dilaksanakan bagi mengelakkan jurutera berhijrah ke luar negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong berkata, langkah ini dilihat dapat meningkatkan gaji permulaan bagi graduan TVET termasuk jurutera.

Menurut beliau, ramai generasi muda enggan bekerja dalam industri berkaitan TVET kerana gaji permulaan rendah.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menyambut baik cadangan yang disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

“Memang keadaan negara kita sekarang dalam keadaan tidak memuaskan, gaji medium ialah RM,2250 pada 2021. Ini tidak boleh diterima kerana anak muda tidak terima gaji begitu rendah dan ini keadaan yang kita terpaksa hadapi.

“Cadangan TPM baik dan harus dilaksanakan supaya gaji graduan TVEt lebih tinggi dan akhirnya gaji jurutera lebih tinggi. Kalau tidak jurutera kita akan berhijrah ke negara lain kalau gaji terlalu rendah dan ini kita perlu selesaikan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kubang Pasu, (Pakatan Harapan), Datuk Dr Ku Abdul Rahmah Ku Ismail meminta kementerian tersebut menyatakan pendirian mengenai cadangan Zahid.

Ku Abdul menyifatkan, cadangan gaji TVET minimum RM3,000 tidak praktikal sebab jurutera sekarang dapat RM2,500 sahaja.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata cadangan penetapan gaji minimum itu munasabah memandangkan graduan TVET adalah pekerja mahir yang telah menjalani kursus kemahiran.

Ahmad Zahid berkata, gaji minimum RM1,500 dan RM2,208 adalah tidak mencukupi atau setimpal bagi graduan TVET.-MalaysiaGazette