Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Seksyen 309 Kanun Keseksaan berkaitan hukuman terhadap individu yang cuba membunuh diri perlu dipinda supaya selari dengan Akta Kesihatan Mental.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, pindaan yang dilakukan itu adalah untuk memberi kuasa kepada pihak berkuasa termasuk polis dan bomba bagi menyelamatkan individu yang cuba membunuh diri tanpa perlu dikenakan hukuman.

“Seksyen 342 Kanun Keseksaan berbeza dengan Seksyen 309. Seksyen 342 KK adalah berkenaan mengambil penilaian terhadap seseorang bagi tujuan menentukannya dapat membuat rayuan di mahkamah sebelum perbicaraan.

“Sebaliknya Seksyen 309 KK adalah menjenayahkan tindakan seseorang yang cuba membunuh diri. Dalam suatu keadaan seorang cuba membunuh diri itu merupakan keadaan kecemasan kerana tindakan segera perlu diambil bukan seperti Seksyen 342 KK yang kita boleh hantar ke Tanjung Rambutan untuk dinilai.

“Dalam 309 KK kalau seseorang cuba bunuh diri, kita perlu memberi kuasa kepada pegawai berkuasa melalui Akta Kesihatan Mental untuk menyelamatkannya dengan segera itu bukan senario di bawah (Seksyen) 342 KK. Ia amat berlainan.

“Jadi saya tidak dapat bersetuju dengan pandangan bahawa Seksyen 309 Kanun Keseksaan merupakan peruntukan undang-undang yang boleh diguna pakai untuk menangani masalah mental yang dicetuskan tindakan cuba membunuh diri,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Besut, Datuk Mohamad Zulkifly Jusoh (Perikatan Nasional) berkenaan keperluan meminda Seksyen 309 KK apabila Seksyen 342 KK membolehkan seseorang dihantar ke hospital untuk penilaian kesihatan mental.

Sementara itu, Ramkarpal memberitahu, Akta Kesihatan Mental perlu dipinda khusus berkaitan penakrifan terhadap tindakan cubaan seseorang untuk membunuh diri.

Ujar beliau, pindaan akta berkenaan akan membolehkan pihak berkuasa yang menyelamatkan individu yang cuba membunuh diri bagi membuat penilaian di hospital dalam tempoh 24 jam.

“Ini adalah satu rumusan yang kami telah putuskan dalam libat urus dan Akta Kesihatan Mental itu sekarang timbul masalah dengan penakrifan seseorang yang ingin cuba membunuh diri. Ini boleh menimbulkan masalah berkenaan usaha2 untuk menyelamatkan orang tersebut.

“Jadi kami berharap Rang Undang-Undang (RUU) ini akan dibawa Parlimen pada sesi ini untuk dibentangkan, dibahas dan diluluskan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, pindaan terhadap Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615] perlu dilaksanakan bagi memastikan tidak ada pindaan berbangkit berkaitan cubaan bunuh diri. – MalaysiaGazette