Najib Razak

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang menerima rawatan kesihatan di sebuah hospital di ibu negara, sejak lima hari lalu.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak Jabatan Penjara Malaysia telah memberi pelepasan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk mendapatkan rawatan tersebut.

“Semalam Ketua Pengarah Penjara maklumkan saya, beliau (Najib) dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan yang bersabit dengan kesihatannya.

“Itu permohonan biasa yang membolehkan Jabatan Penjara memberikan pelepasan dalam tempoh tertentu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KDN, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan bekas Perdana Menteri itu dipercayai telah dimasukkan ke hospital kerana jangkitan paru-paru.

Najib, yang dipenjarakan di Penjara Kajang selama 12 tahun sejak 23 Ogos 2022, dipercayai dimasukkan ke hospital kerana jangkitan paru-paru.

Dalam pada itu Saifuddin berkata, pihaknya tidak menghalang mana-mana pesalah termasuk Najib untuk mendapatkan rawatan kesihatan yang sewajarnya.

“Bergelar tahanan sekali pun, tidak menghilangkan hak dia untuk mendapatkan rawatan

“Saya fikir itu cara dan kaedah KDN khususnya Jabatan Penjara menguruskan hal seperti ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette