Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim. Foto: HAZROL ZAINAL, 28 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket yang aktif terlibat dalam penipuan Kit Pakej Android (APK) dalam talian berjaya ditumpaskan polis di ibu negara.

Tujuh individu yang disyaki mendalanginya diberkas dan empat daripadanya merupakan warga asing, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

Menurutnya,, pada 21 Mac lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman telah membuat serbuan di dua unit premis  di Jalan Tun Razak.

“Hasil serbuan itu, pasukan berjaya menahan seramai tujuh individu yang terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan dan empat warganegara asing berusia di antara 20 tahun hingga 27 tahun.

“Pemeriksaan lanjut polis ke atas kesemua suspek itu berjaya melakukan rampasan barangan iaitu lima unit komputer dan 28 buah telefon bimbit yang disyaki digunakan dalam menjalankan kegiatan sindiket penipuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azmi, siasatan awal polis mendapati modus operandi sindiket itu menggunakan platform jual beli barang atas talian untuk memperdayakan mangsa supaya memuat turun fail APK.

Melalui fail APK, ia membolehkan sindiket menggunakan kad debit mangsa kerana mangsa telah memasukkan maklumat perbankan mereka ketika proses memuat turun fail.

“Akibatnya, kad debit mangsa akan digunakan melalui aplikasi pembayaran elektronik tanpa mangsa sedari dan sindiket ini beroperasi selama tiga bulan di sekitar Kuala Lumpur.

“Kesemua ahli sindiket bekerja sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan dengan tawaran gaji sebanyak RM4,000 sebulan,” ujarnya.

Tegas Azmi, kesemua suspek sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran dari mana-mana pihak yang tidak dikenali selain disarankan supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum memuat turun sebarang fail daripada sumber yang tidak sah,” katanya.

Beliau mahu orang ramai melaporkan sebarang usaha sindiket kepada National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan. – MalaysiaGazette