Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri telah menerima laporan berkenaan acara hiburan yang menampilkan persembahan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian wanita dikenali sebagai Thai Hot Guy yang akan diadakan 30 Mac ini.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Bidin berkata, pihaknya juga telah meneliti acara yang dianjurkan Privacy Club di Jalan Tun Razak itu.

Katanya dalam satu kenyataan hari ini, hasil siasatan awal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), premis berkenaan dilesenkan sebagai restoran kepada syarikat Beijing 9 Sdn. Bhd.

Bagaimanapun, lesen restoran syarikat terbabit telah tamat pada 4 Februari 2021.

Premis itu juga tidak mempunyai lesen hiburan dan juga tiada sebarang permohonan lesen hiburan atau permohonan untuk menjalankan aktiviti hiburan.

Tambah beliau, DBKL juga dalam proses semakan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan syarat-syarat oleh penganjur.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan bantahan beberapa pihak terhadap penganjuran acara hiburan dikatakan tidak menghormati sensitiviti rakyat Malaysia serta dilihat sebagai tidak bermoral dan menjijikkan.- MalaysiaGazette

 

Artikel berkaitan

UMNO, Pas bantah penganjuran ‘Thai Hot Guy’