KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari (Perikatan Nasional) menyuarakan kebimbangan mengenai penganjuran acara hiburan yang menampilkan persembahan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian wanita dikenali sebagai Thai Hot Guy.
Katanya, acara yang dirancang pada 30 Mac ini dilihat tidak sesuai diadakan apatah lagi ia diadakan pada bulan Ramadan.
“Apa pandangan menteri, adakah program-program sebegini sesuai dengan kerangka Malaysia Madani dan kalau tidak saya yakin diusahakan untuk dibatalkan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengajukan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Menjawab soalan berkenaan, Wilson Ugak menyarankan supaya Ahmad Fadhli selaku wakil rakyat Pas supaya tidak menghadiri acara tersebut.
Tambah beliau, Kerajaan Perpaduan yang berkonsepkan Malaysia Madani juga tidak menyokong program sedemikian.
Beliau berkata, kerajaan menumpukan usaha untuk membantu rakyat dengan inisiatif-inisiatif berteraskan pembangunan masyarakat.
“Kerangka Malaysia Madani ini adalah untuk menyusuri kepada semua rakyat di seluruh kementerian. Dengan adanya agenda-agenda program begitu YB, janganlah masuk. Kerajaan kita tidak ada program seperti yang dikatakan tadi.
“Jadi Malaysia Madani tidak akan teruskan program yang tidak sihat itu, kerana rakyat Malaysia berbilang kaum, agama kita percaya program Madani inisiatif untuk memberikan pembangunan kepada rakyat yang miskin tegar (dan menangani) kos sara hidup rakyat yang susah sekarang,” jelasnya.
Terdahulu, UMNO dan Pas membantah penganjuran ‘Thai Hot Guy’ yang akan diadakan di sebuah kelab, di sini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mendesak supaya pihak penganjur membatalkan program berkenaan yang disifatkan sebagai tidak menghormati sensitiviti masyarakat Malaysia.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hasan menyifatkan acara berkenaan keterlaluan, tidak sensitif, tidak bermoral dan menjijikkan. – MalaysiaGazette