JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lelaki menerusi tiga serbuan melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM3.22 juta di sekitar bandar raya ini kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan suspek berusia 34 dan 38 tahun itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor antara pukul 3.15 hingga 5 petang.
Sindiket terbabit dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini.
Hasil serbuan, polis merampas pelbagai dadah antaranya 119,750 biji pil Eramin 5, serbuk ekstasi seberat 5,360 gram, ketamin (903 gram), pil ekstasi (865 gram) dan magic mushroom (270 gram).
“Dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai kira-kira 150,000 orang penagih,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Polis mendapati modus operandi digunakan sindiket ini dengan menjadikan kereta sebagai stor simpanan dadah dan kenderaan diletakkan di kawasan perumahan berpagar dan berpengawal sebelum diedar ke pasaran.
Kamarul Zaman berkata, pihaknya turut menyita pelbagai aset bernilai RM210,450 membabitkan sejumlah wang tunai, barangan kemas dan empat buah kenderaan.
Hasil saringan ujian air kencing mendapati seorang suspek positif dadah manakala seorang lagi mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.
Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam.- MalaysiaGazette