Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 23 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Kes penggubahan wang haram RM7juta dan gagal menyerahkan cukai pendapatan membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor akan mempunyai perkembangan baharu  susulan pertukaran hakim dalam kes itu.

Sebelum ini perbicaraan kes itu didengar oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan tetapi beliau sudah dinaikkan pangkat Hakim Mahkamah Rayuan.

Oleh itu, kes berkenaan akan didengar  oleh Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy.

Perkara itu disahkan oleh peguam mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu, Datuk Geethan Ram Vincent sebentar tadi selepas prosiding pengurusan kes di hadapan hakim itu untuk kali pertama.

Mahkamah sebelum ini menetapkan tarikh perbicaraan kes ini pada 12 Mei, 28,30 Jun; 6, 7, 28, 31 Julai; 1, 2, 11, 24, 25 Ogos dan 7, 8 September depan.

Geethan Ram turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya sudah menarik balik permohonan untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram, memandangkan Timbalan Pendakwa Raya Kanan itu telah meninggal dunia pada akhir Januari lalu.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn memberitahu, pihaknya menjangkakan seramai 13 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Rosmah sedang berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast