Pengawai SPRM membawa tertuduh keluar dari Mahkamah Seksyen setelah dijatuhi hukuman oleh Hakim Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mokhtar, hari ini.

KUANTAN – Seorang pembantu tadbir Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengaku bersalah atas 10 pertuduhan memalsukan dokumen berkaitan 10 keping cek milik Felda bernilai RM64,734 pada kejadian dua tahun lalu.

Mohd Azlan Jainal, 36 tahun, dihukum penjara 13 bulan dan didenda RM68,500 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mokhtar, hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan hukuman itu bermula pada hari ini.

Tertuduh juga bakal berdepan dengan hukuman 29 bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.

Mengikut kertas pertuduhan, Azlan melakukan perbuatan itu di Bank Islam Malaysia Berhad, di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Maran, antara 26 Mac hingga 30 April 2021.

Tertuduh telah meniru tanda tangan pengurus dan penyelia Felda bagi semua 10 keping cek terbabit tanpa pengetahuan orang lain.

Hasil semakan mendapati terdapat 10 transaksi kemasukan wang ke dalam akaun tertuduh.

Azlan didapati bersalah mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak boleh sampai 20 tahun dan dikenakan denda.

Ketika prosiding Azlan berbaju kemeja merah gelap merayu kepada mahkamah mengurangkan hukuman atas alasan wang itu digunakan bagi memudahkan urusan pentadbiran pejabat Felda dan bukannya untuk kepentingan pribadi.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh. – MalaysiaGazette