Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan hadir ke mahkamah atas didakwa berhubung Projek Inisiatif Jana Wibawa dan rasuah RM2 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 23 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pendakwaan kes rasuah membabitkan ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad di Shah Alam dipindahkan ke mahkamah di sini. 

Untuk makluman, Adam Radlan yang juga Timbalan Ketua Bahagian Segambut, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menghadapi tiga pertuduhan di Kuala Lumpur dan dua di Shah Alam.

Hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membenarkan permohonan pendakwaan memindahkan dua pertuduhan di Mahkamah Shah Alam untuk dibicarakan secara bersama dengan kes di Kuala Lumpur.

Kata Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaidi, pihaknya telah menyerahkan sebahagian dokumen perbicaraan kepada pembelaan seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 51(a) Kanun Tatacara Jenayah.

Sebutan kes itu di Shah Alam akan disebut pada 14 April ini.

Pembelaan yang diwakili oleh peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam bangkit tidak membantah.

Azura kemudian menetapkan tarikh sebutan pada 29 Mei ini.

Untuk pertuduhan pertama, Adam Radlan dituduh menerima suapan wang tunai RM500,000 berkaitan projek Jana Wibawa sebagai dorongan membantu sebuah syarikat lain mendapatkan surat setuju terima bagi projek pembinaan jalan bernilai RM47.8 juta.

Pertuduhan kedua pula pemimpin Bersatu itu didakwa menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah untuk tujuan serupa.

Pertuduhan ketiga pula di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Adam Radlan sebagai Pengarah Syarikat Bayu Bumiraya Sdn. Bhd. didakwa menerima suapan RM2 juta melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu daripada Lian Tan Chuan sebagai upah membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM141 juta.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan RM2.1 juta menerusi akaun sama daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM47.8 juta.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Adam Radlan juga telah mohon dibicarakan untuk pertuduhan terakhirnya yang didakwa telah meminta RM2 juta daripada Lian Tan Chuan sebagai suapan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan kontrak kerajaan RM141 juta bagi membina IPD Klang Utara. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast