Seorang lelaki pelajar sebuah universiti maut dipercayai terjatuh dari tingkat enam rumah kekasihnya selepas berlaku selisih faham berpunca daripada perasaan cemburu.

MELAKA – Seorang pelajar lelaki sebuah universiti di sini maut dipercayai terjatuh dari tingkat enam rumah kekasihnya selepas berselisih faham berpunca daripada perasaan cemburu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun maut di tempat kejadian selepas terjatuh dari tingkat enam Blok C, pangsapuri 18 tingkat di Bukit Beruang itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa dikatakan datang ke pangsapuri berkenaan untuk bertemu dengan teman wanitanya berusia 20 tahun yang tinggal di tingkat enam pangsapuri berkenaan kira-kira pukul 2 pagi kerana tidak membalas mesej dihantarnya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit

“Teman wanita mangsa yang juga pelajar universiti yang sama kemudian bertemu dengannya di koridor sebelum meminta maaf kerana telah membuatkan kekasihnya itu cemburu dan marah padanya sebelum ini.

“Wanita itu kemudian memaafkannya dan menasihati agar tidak mengulanginya namun ketika dia masuk ke dalam rumah tiba-tiba memanjat tembok koridor itu setinggi kira-kira empat kaki,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun maut ditempat kejadian selepas terjatuh dari tingkat enam Blok C pangsapuri 18 tingkat di Bukit Beruang, Melaka.

Christopher berkata, teman wanita awalnya menyangkakan pasangannya itu bergurau namun terkejut apabila melihat kedua-dua kakinya sudah berada di luar dan hanya tangannya berpaut pada tembok.

“Wanita itu kemudian cuba menyelamatkan kekasihnya itu namun hanya dapat mencapai sebahagian tangan  kerana tembok tersebut tinggi menyebabkannya terjatuh.

“Teman wanitanya itu kemudian segera menghubungi rakan sebilik kekasihnya untuk meminta bantuan,” katanya sambil menambah siasatan pihak forensik mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dan khianat dalam kejadian itu.

Tambahnya, mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast