Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.- Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Lembanga Tabung Haji (TH) sedang mengkaji cadangan mewujudkan tabung wakaf supaya agihan subsidi haji diberikan lebih adil kepada semua kumpulan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar, berkata, tabung wakaf merupakan antara inisiatif berhubung pemberian subsidi kepada jemaah haji.

“Insya-Allah pihak Tabung Haji mengambil kira cadangan mewujudkan wakaf, saya rasa ini adalah sebahagian daripada inisiatif yang akan diambil oleh TH pada masa depan.

“Kita akan nilai, buat kajian berkaitan cadangan ini dan insya-Allah pada masa itu kita akan laksanakan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa di Dewan Rakyat sama ada TH bercadang memperkenalkan pendekatan yang lebih lestari dengan mewujudkan tabung wakaf haji.

Ini bagi mengangani tekanan subsidi supaya bantuan kewangan diberikan secara adil kepada semua jemaah haji.

TH menjadi perhatian apabila mengenakan kos berbeza kepada kumpulan B40, M40 dan T20 tahun ini berikutan jumlah subsidi yang diberikan semakin meningkat kepada RM500 juta tahun depan.

Mohd Nai’im berkata, peningkatan subsidi akan memberi kesan kepada TH dalam aspek agihan keuntungan berpatutan kepada pendepositnya.

“TH menjangka jumlah bantuan kewangan haji akan meningkat dari RM185 juta pada 2022 kepada RM400 juta pada 2023.

“Jumlah ini dijangka terus meningkat hampir kepada RM500 juta pada 2024 sekiranya bayaran haji tidak disemak dan ini akan memberi kesan kepada TH yang perlu memberikan agihan keuntungan berpatutan kepada pendepositnya,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen (PN) Pokok Sena Datuk Ahmad yang meminta Perdana Menteri menyatakan asas pertimbangan kerajaan meletakkan kos perbelanjaan jemaah haji berdasarkan kategori pendapatan B40, M40 dan T20.-MalaysiaGazette