Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafah (dua kanan) meluangkan masa melakukan walkabout ke gerai bazar pada ''Kick Off'' Pelancaran Ops Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2023 di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneruskan Operasi Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan bagi memastikan makanan yang dijual selamat dan berkualiti.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, operasi berkenaan bertujuan melindungi kesihatan awam dan mempromosi amalan keselamatan makanan dalam kalangan penjual dan pengguna.

Beliau berkata, tema yang dipilih pada tahun ini adalah ‘Sama-Sama Perhati dan Pilih Juadah di Bazar Ramadan’.

“Semasa Operasi Ramadan Tahun 2022 sebanyak 19,951 premis makanan telah diperiksa. Daripada jumlah tersebut sebanyak 38 premis makanan tidak bersih dan telah dikenakan tindakan penutupan dan sebanyak 1,030 notis kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas Walkabout Bazar Ramadan 2023 dan melancarkan Ops Kebersihan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2023, di sini, hari ini.

Selain itu beliau berkata, KKM akan menjalankan pemeriksaan sampel makanan secara rawak di bazar-bazar Ramadan demi memastikan makanan dijual tidak tercemar, sekali gus menjamin keselamatan dan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafah mengimbas kod QR aduan makanan pada ”Kick Off” Pelancaran Ops Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2023 di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2023.

Sementara itu, Zaliha turut merasmikan pelaksanaan sistem  QR Code bagu Aduan  Kebersihan dan Keselamagan Makanan Bazar Ramadan Putrajaya.

“Apa yang kita lakukan ada sediakan QR Code pengadu-pengadu boleh buat aduan menerusi itu.

“Kita ada letakkan pilihan bazar Ramadan di mana dan bentuk aduan dalam sistem jadi mudah bagi mereka,” jelasnya.

Menurut beliau, tindak balas daripada aduan dalam sistem berkenaan akan diambil dalam tempoh lebih kurang 24 jam.-MalaysiaGazette