UMNO PRN
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berganding tangan dengan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan pada sidang media selepas selesai Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 14 JANUARI 2023.

BARISAN Nasional (BN) bakal bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah sebagai underdog.

Hakikat yang pahit itu perlu ditelan oleh para pemimpin, ahli dan penyokong BN ekoran prestasi hambar parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

BN gagal memenangi walau satu kerusi Parlimen pun di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah sekali gus membayangkan kemungkinan senario serupa akan berlaku pada PRN nanti.

Di Negeri Sembilan, BN berjaya merampas semula dua kerusi Parlimen iaitu Tampin dan Kuala Pilah yang jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.

Namun itu tidak bermakna mereka boleh berasa selesa pada PRN Negeri Sembilan kerana dikatakan, data pengundian PRU15 di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai UMNO menunjukkan sokongan tidak memihak kepada BN.

Walaupun pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 membantu dalam usaha membawa kestabilan politik di negara ini, BN khususnya UMNO yang menganggotainya masih berdepan krisis kepercayaan daripada pengundi Melayu.

Sekiranya krisis itu tidak dapat ditangani dengan baik, tidak mustahil UMNO akan terlepas kerusi-kerusi DUN yang disandangnya di enam negeri berkenaan.

Ketika ini, UMNO menyandang 15 kerusi DUN di Negeri Sembilan, lima kerusi di Selangor, dua kerusi di Pulau Pinang, tujuh kerusi di Kelantan, 10 kerusi di Terengganu dan dua kerusi di Kedah.

Secara keseluruhan BN mempunyai 42 kerusi termasuk satu kerusi DUN di Negeri Sembilan yang diwakili MIC manakala MCA langsung tidak mempunyai sebarang kerusi.

Dalam masa yang berbaki dua atau tiga bulan ini, UMNO perlu melipatgandakan usaha meyakinkan rakyat khususnya orang Melayu untuk terus menyokongnya supaya ia sekurang-kurangnya dapat mempertahankan 41 kerusi yang disandang.

Memandangkan UMNO kini tidur sebantal dengan DAP yang masih belum berganjak daripada memperjuangkan agenda Malaysian Malaysia, misi itu sememangnya amat getir dan mencabar.

Tugas dan tanggungjawab yang berat itu perlu digalas bersama oleh kepimpinan UMNO yang baru sahaja dipilih dan dilantik bagi penggal 2023-2026.

Mereka mesti bersolidariti bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam membina semula kekuatan parti menjelang PRN di enam negeri.

Perkara itu tidak sukar untuk dilakukan memandangkan muka-muka yang membarisi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kali ini dilihat berada dalam kem Presiden.

Cabaran yang sebenar adalah mengembalikan sokongan orang Melayu terhadap UMNO yang kini semakin pudar, khususnya dalam kalangan generasi muda yang berpendidikan tinggi dan berkerjaya profesional.

Kepercayaan telah diberikan oleh akar umbi kepada mereka yang difikirkan layak untuk membawa misi yang amat penting bagi membina daya tahan UMNO dalam iklim politik negara yang semakin panas dan sarat dengan situasi di luar jangka.

Terserah kepada mereka untuk membawa UMNO kembali ke zaman kegemilangan atau hanya mampu bernostalgia tentang masa silam yang semakin jauh ditinggalkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Memandangkan UMNO kini tidur sebantal dengan DAP yang masih belum berganjak daripada memperjuangkan agenda tersembunyi DAP, maka UMNO BN terpaksa menjilat buntut2 Dap bagi berada kekal dalam kerajaan agar zahid hamidi tidak dikenakan hukuman atas kesalahan yang telah dia lalukan.
    Sumber:- pad ibab -mirror

Comments are closed.