Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Ada parti yang menampilkan imej Islam sehingga ahli dan pemimpinnya berasa ajaran yang dibawa adalah ‘lebih beragama’ daripada pihak lain.

Kebimbangan itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berpendapat fahaman tersebut wajar dibendung.

“Kita tidak mahu ummah kita terlalu melayani perbezaan (politik) dalam kalangan kita kerana ini akan mewujudkan kabilah yang taksub kepada kumpulan tertentu.

“Apatah lagi jika ada yang merasakan mereka lebih Islam daripada orang lain tapi kumpulan itu jugalah yang gunakan ayat al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias mengikut selera tersendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Batu 8, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, orang ramai harus menjadikan Ramadan kali ini sebagai iktibar untuk menginsafi segala kemelut politik yang telah berlaku.

“Kita lupakan segala perbezaan warna politik, itu kita harus singkirkan kerana yang penting adalah penyatuan ummah, penyatuan pemikiran serta hati nurani yang akhirnya menjadi penyatuan amal,” ujarnya.

Ahmad Zahid menambah, program yang dianjurkan kementeriannya hari ini boleh dijadikan teladan apabila ia kali pertama dihadiri oleh beberapa rakan dalam komponen parti politik, Pakatan Harapan (PH).

“Di dalam usaha menjalin erat Kerajaan Perpaduan yang wujud hari ini, buat pertama kali rakan daripada parti di dalam PH bersama kita dalam majlis ini.

“Jalinan erat ini di antara kita semua diharap dapat mewujudkan satu keserasian yang dapat merungkaikan rasa kecurigaan dalam kalangan kita,” ujasnya.

Ahmad Zahid berharap semua pihak dalam Kerajaan Madani dapat mengeratkan hubungan agar kerjasama yang terjalin lebih kukuh.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan pentadbiran negara dapat bergerak dengan lancar sekali gus masalah rakyat dapat diselesaikan. – MalaysiaGazette