KUALA LUMPUR – Tujuan kerajaan mahu melaksanakan sistem pembayaran tol terbuka hanya di lima lebuh raya bagi memastikan sistem itu dapat berfungsi dengan baik sebelum diperluaskan ke lebuh raya lain.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha tersebut tidak boleh dilaksanakan tergesa-gesa tanpa kajian dan pembangunan perancangan walaupun beberapa lagi syarikat konsesi telah menunjukkan minat dan kesediaan untuk menyertai sistem pembayaran berkenaan.
“Sistem yang dicadangkan diuji terlebih dahulu sebelum dilaksanakan sepenuhnya. Ini bagi mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari yang akan menyusahkan pengguna,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Baru-baru ini, Alexander mengumumkan akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka bagi membolehkan pengguna membayar tol menggunakan kad debit dan kredit selewat-lewatnya September ini.
Lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.
Nanta berkata, usaha melaksanakan sistem pembayaran tol terbuka itu telah dilakukan pasukan Kementerian Kerja Raya (KKR) daripada Bahagian Pembangunan dan Penswastaan (BPP) sejak 2022.
Menurutnya, pelaksanaan sistem itu mengambil masa yang agak lama kerana ia bukan satu perkara mudah.
Ia perlu melalui banyak proses termasuk aspek teknikal, perundangan dan kewangan yang perlu diperhalusi dan diperjelaskan oleh semua pihak terlibat sebelum keputusan memulakan sistem pembayaran terbuka ini di lima lebuh raya pertama dapat dicapai.
Mengenai persoalan pihak manakah yang bertanggungjawab dalam membuat keputusan dan memastikan sistem pembayaran terbuka itu dilaksanakan, Nanta berkata, semua punca kuasa pelaksanaan sistem pembayaran tol dan semua yang berkaitan tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya (KKR).
“Saya memohon semua pihak menunggu pengumuman KKR berkenaan senarai jajaran dan lebuh raya yang bersedia untuk melaksanakan sistem pembayaran terbuka ini bagi mengelakkan kekeliruan, salah faham dan masalah dalam kalangan pengguna di kemudian hari.
“Ia akan ditentukan selepas semua proses libat urus, teknikal, perundangan dan kewangan telah dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat” tambahnya. – MalaysiaGazette