Pengarah filem, Syamsul Yusof hadir ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk proses penyelesaian melalui Jawatankuasa Pendamai (JKP) berhubung kemelut rumah tangganya di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Pengarah terkenal, Syamsul Yusof menasihatkan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana  supaya menerima poligami dengan hati yang terbuka.

Menurut Syamsul, perceraian bukan satu jalan yang terbaik dalam kemelut rumah tangga mereka kerana ia akan memberi kesan yang tidak baik kepada anak-anak.

“Niat saya mengharapkan isteri terima poligami ini dengan baik. Kita boleh berbincang mengenai bagaimana jalan untuk kembali bersama.

“Harap Sarah boleh menerima poligami ini dengan baik dan bincang jalan kita bersama kembali, kita bincang (giliran) dalam seminggu berapa hari kita boleh jumpa dan lain-lain.

“Ramai orang hadapi masalah besar selepas bercerai. Saya selalu baca beberapa berita selepas bercerai mesti ada masalah tentang soal anak termasuk bab nafkah. Marilah Sarah, kita jumpa berbincang,” ujarnya.

Pengarah filem, Syamsul Yusof bercakap kepada media selepas sesi bersama JKP.

Beliau berkata demikian selepas proses bersama Jawatankuasa Perdamaian (JKP) di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini menemui jalan buntu.

Bapa kepada dua anak itu kelihatan kecewa apabila sesi itu tidak membabitkan pertemuan antara mereka berdua kerana ia dijalankan dalam bilik berasingan.

“Saya mengharapkan tadi dapat berjumpa Sarah tapi rupanya proses masuk ke bilik tersebut berbincang secara berasingan so tak apalah saya turuti benda itu.

“Di pihak saya, saya harapkan masalah rumah tangga saya dapat diselesaikan dengan baik,” ulasnya.

Syamsul menegaskan, kemelut rumah tangganya itu tidak sepatutnya dicanang di media sosial sehingga menjadi bualan warganet kerana ia hanya akan membuka aib satu sama lain.

Dalam pada itu, Syamsul sekali lagi menafikan dakwaan bahawa beliau pernah memukul Puteri Sarah dan menganggap ia satu fitnah serta cerita rekaan.

“Kalau tak suka pun kenapa fitnah saya, jangan buat fitnah yang tidak benar ini walau membenci saya sekali pun, saya call dia cakap sampai hati awak buat (fitnah) saya macam ini.

“Sebenarnya cerita yang kononnya saya pukul itu pun ada kisahnya dan saya tak mahu sampai ke situ (aib),” ulasnya.

Pada 7 Mac lalu, Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan pasangan itu untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Ia berikutan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin selaku plaintif memfailkan permohonan cerai di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette