tadbir urus institusi pendidikan MARA
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Aspek tadbir urus, ketelusan dan amalan terbaik integriti sentiasa diberi keutamaan dalam Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketiga-tiga aspek tersebut mesti dipasakkan dalam organisasi berkenaan sebelum beliau memulakan apa sahaja agenda besar pembangunan ekonomi, keusahawanan dan pendidikan bumiputera.

“Insya-Allah, ini dapat memastikan institusi seperti Mara dapat mencapai sasaran sifar ketirisan, pembaziran dan korupsi dalam memacu agenda ummah.

“Moga Allah rahmati usaha ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau mengulas komen ramai pihak berhubung tindakannya membawa masuk tokoh-tokoh bank, korporat dan pendidikan termasuk bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai Ahli Majis Mara.

Turut dilantik sebagai Ahli Majlis Mara ialah bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali. – MalaysiaGazette