Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang pertama selepas parti tersebut selesai mengadakan pemilihan di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Pasukan ‘baharu’ UMNO yang baru dilantik bukanlah majoriti ‘orang’ Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpandangan, pasukan baharu khususnya dalam kalangan pimpinan tertinggi parti tersebut dilihat seimbang mengikut tuntutan dan suara akar umbi selaras dengan pemilihan, begitu juga berdasarkan lantikan.

Situasi ini akan memudahkan semak dan imbang dalam parti itu.

“Kalau dilihat, tidak semuanya orang Zahid. Kalau Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil itu sebenarnya dianggap dan dilihat sebagai orang Datuk Seri Ismail Sabri (Naib Presiden). Apabila (Shahrizat) kalah (Ketua Wanita) beliau diambil sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebab tidak mahu berlakunya politik balas dendam dalam UMNO.

“Tapi apa yang penting adalah keseimbangan, tidaklah terlalu banyak ‘Yes Man’,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut katanya, pasukan terkini dilihat ada yang menyokong kepada Kerajaan Perpaduan yang akan membantu menjamin kestabilan kepada politik negara.

“Kena ingat pemilihan perwakilan selain daripada lantikan, itu adalah suara daripada akar umbi, jadi pilihan mereka perlu dihormati. Kalau dianggap ada yang pro-Zahid, ada juga yang saya lihat pro kepada kerajaan terkini,” jelasnya.

Baru-baru ini, UMNO mengumumkan pelantikan baharu selepas pemilihan Ahli MKT yang berlangsung Sabtu lalu.

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilantik Setiausaha Agung baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan manakala Datuk Seri Azalina Othman Said yang tewas pemilihan Naib Presiden dilantik sebagai Ketua Penerangan menggantikan Isham Jalil.

Jawatan Bendahari Agung kekal dipegang oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Selain itu, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang tewas dalam perebutan jawatan Ketua Pergerakan Wanita pula dilantik sebagai ahli MKT, dalam memegang portfolio Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga.

Turut dilantik 12 lagi ahli MKT, iaitu Datuk Nur Jazlan Mohamed; Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh; Datuk Ahmad Ismail; Datuk Seri Dr. Mohamed Shafie Abdullah dan Datuk Hasmuni Hassan.

Selain itu, ahli MKT baru yang dilantik adalah Datuk Mohd Hasnol Ayub; Datuk Mohd. Faizal Ramli; Datuk Ariff Abdul Majid; Datuk Seri Jailani Johari; Datuk Norliza Abdul Rahim; Mohamad Hairi Maad Shah dan Siti Sokhleha Nordin.-MalaysiaGazette