Tahun ini orang Kuantan tidak perlu lagi membuat tempahan untuk berbuka puasa di Padang MBK1 dan bebas memilih mana-mana tempat yang sesuai di padang itu.

KUANTAN – Berbuka puasa atas tikar di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 sepanjang Ramadan menjadi tradisi warga Kuantan

Tradisi ini diteruskan oleh pengunjung pada tahun ini tanpa membuat tempahan petak secara atas talian seperti tahun sebelumnya.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, acara tradisi itu kembali meriah seperti sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

“Sambutan hari pertama 1 Ramadan menggalakkan dan meriah kembali apabila orang ramai berbuka puasa beramai-ramai di Padang MBK1. Tahun ini tidak perlu ‘cop’ tempat, semua bebas.

“Bagi memastikan kebersihan dan keselesaan orang awam terjamin, pihak MBK menyediakan tong sampah pada jarak setiap 100 meter.

“Orang ramai boleh keluar masuk dan memilih lokasi di padang serta boleh membentangkan tikar untuk berbuka puasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Padang MBK1 yang terletak bersebelahan Bazar Ramadan Dataran Mahkota dan berhampiran Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah menjadi lokasi pilihan utama untuk berbuka puasa.

Lokasi strategik ini secara tidak langsung memudahkan umat Islam menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih selepas berbuka puasa.

Selain Padang MBK1, Serambi Teruntum dan kawasan Menara 188 menjadi tarikan lokasi baharu pengunjung untuk berbuka puasa di Kuantan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.