Kerja-kerja membaik pulih air di Taman Mutiara Bukit Raja 2, Klang sudah selesai.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14.6 peratus daripada 55 kawasan di wilayah Klang dan Shah Alam yang mengalami gangguan bekalan air sejak malam tadi sudah pulih setakat jam 9 pagi tadi.

Air Selangor berkata, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan.

Jelasnya, tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan dan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

Gangguan bekalan air terjejas ekoran paip pecah di Taman Mutiara Bukit Raja 2, Klang.

Kerja-kerja pembaikan dimulakan sejak jam 10 malam tadi dan dijangka siap jam 6 pagi ini. – MalaysiaGazetet