Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan berhati-hati dan bergerak pada paras semasa minggu depan di tengah-tengah ketidaktentuan dalam pasaran global berikutan kebimbangan berterusan terhadap kestabilan perbankan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, aktiviti memburu saham berharga murah dijangka muncul minggu depan dan FBM KLCI diramalkan berlegar pada paras 1,400-1,415 manakala sokongan serta-merta dilihat pada 1,400 diikuti 1,370 dengan rintangan pada 1,420.

“Disebabkan keadaan global dan serantau yang tidak menentu, kami mengunjurkan sentimen pasaran jangka pendek kekal goyah. Bagaimanapun, indeks penanda aras tempatan masih dalam kedudukan terlebih jual, justeru kami menasihatkan pelabur untuk mengumpul ketika lemah,” katanya kepada Bernama.

Bursa Malaysia berada dalam aliran menurun sepanjang minggu yang baru berakhir berikutan krisis perbankan di Amerika Syarikat (AS).

Baru-baru ini, Setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen memberi jaminan bahawa langkah akan diambil untuk memastikan deposit selamat di bank. Pada Khamis, Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas lagi pada mesyuarat kesembilan berturut-turut dan membayangkan kemungkinan terdapat lebih banyak kenaikan pada masa akan datang.

Pada perbandingan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 12.03 mata untuk berakhir pada 1,399.70 daripada 1,411.73 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 78.22 mata kepada 10,258.18, Indeks FBMT 100 susut 77.05 mata menjadi 9,951.83, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 68.03 mata kepada 10,599.21 dan Indeks FBM 70 kerugian 67.93 mata menjadi 13,297.72.

Sementara itu, Indeks ACE FBM meningkat 54.88 mata kepada 5,303.82.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 90.19 mata kepada 15,449.52, Indeks Tenaga lemah 19.98 mata kepada 802.88, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lebih rendah 4.51 mata kepada 165.54 dan Indeks Perladangan menguncup 158.39 mata kepada 6,713.93.

Jumlah dagangan mingguan susut menjadi 16.06 bilion unit bernilai RM9.62 bilion daripada 17.96 bilion unit bernilai RM13.30 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 10.56 bilion saham bernilai RM8.25 bilion berbanding 11.57 bilion saham bernilai RM11.13 bilion minggu sebelumnya.

Sementara itu, jumlah dagangan waran lebih rendah menjadi 2.18 bilion unit bernilai RM338.05 juta daripada 2.26 bilion unit bernilai RM363.11 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turut menyusut kepada 3.28 bilion saham bernilai RM1.02 bilion berbanding 4.13 bilion saham bernilai RM1.80 bilion. – BERNAMA