Lim Kit Siang Sian See Annuar China
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak wajar dijemput ke Parlimen bagi membentangkan sebab-sebab kegagalan Wawasan 2020.

Cadangan menjemput tiga bekas perdana menteri itu dibuat oleh veteran DAP Lim Kit Siang berikutaan dakwaan Mahathir bahawa Abdullah dan Najib merupakan penyebab Wawasan 2020 gagal dilaksanakan.

“Ketiga-tiga bekas perdana menteri ini patut dijemput untuk membentangkan kertas kepada Parlimen sebelum perbahasan mengenai mengapa Wawasan 2020 telah gagal.

“Supaya ahli-ahli Parlimen boleh mendapatkan pandangan dari Perdana Menteri Malaysia yang keempat, kelima, keenam dan ketujuh mengenai mengapa Wawasan 2020 ini telah gagal,” katanya dalam blog.

Tambah Kit Siang, tindakan Mahathir menyalahkan Abdullah dan Najib atas kegagalan Wawasan 2020 telah menguatkan lagi hujah beliau supaya sidang Parlimen perlu dilanjutkan selama dua hari lagi pada 5 dan 6 April.

Ini bagi membahaskan sebab Wawasan 2020 gagal dengan Malaysia kini lebih korup, tidak bersatu padu, dan terpolarisasi dengan isu perkauman dan keagamaan berbanding dengan semasa Wawasan 2020 dilancarkan pada tahun 1991.

“Adakah Mahathir tepat dalam mengatakan Abdullah dan Najib telah mengkhianati pencapaian Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya?

“Atau adakah benih-benih kegagalan telah disemai oleh Mahathir sendiri semasa pemerintahan 22 tahunnya walaupun peningkatan rasuah, salah guna kuasa, dan polarisasi perkauman dan keagamaan meningkat lebih banyak dalam tahun-tahun selepasnya, terutamanya semasa pemerintahan Najib,” dakwa Kit Siang.

Pada 23 lalu, dalam kenyataan di media sosial Mahathir mendakwa, kegagalan Wawasan 2020 yang dilancarkan olehnya bukan disebabkan oleh dirinya

Menurut Mahathir, tidak ada bukti kegagalan Wawasan 2020 sehingga saya letak jawatan pada 2003.

Mahathir sebaliknya meletakkan kesalahan tersebut kepada pengganti beliau iaitu Abdullah dan Najib kerana mengetepikan dasar dan cara yang diterokai beliau.

Abdullah menurut Mahathir telah membatal projek kereta api, jambatan bengkok dan projek expressway walaupun beliau telah janji akan teruskan projek-projek tersebut.

Najib juga tidak berusaha untuk jayakan wawasan berkenaan dan Mahathir mendakwa, Najib meminjam berbillion ringgit untuk membeli stesen janakuasa dengan harga lebih tinggi dari harga pasaran.

Untuk rekod Abdullah tidak sihat dan kesihatannya tidak memungkin beliau untuk berada di Parlimen begitu juga dengan Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara.-MalaysiaGazette