Lim Guan Eng.-Foto AFFAN FAUZI, 05 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa laporan polis yang dibuat Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Kamal ke atas beliau dan Perdana Menteri merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Ini kerana menurut Guan Eng, Ketua Armada Bersatu telah membuat laporan palsu berkaitan dakwaan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Muhyiddin bahawa beliau telah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

“Anwar bercakap benar apabila dia berkata rekod dengan Kementerian Kewangan menunjukkan bahawa sebagai Menteri Kewangan dari Mei 2018 hingga Februari 2020, saya tidak pernah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

“Ini disokong oleh kegagalan Muhyiddin menunjukkan bukti atau mengemukakan surat pembatalan daripada saya semasa saya menjadi Menteri Kewangan,” kata Guan Eng dalam kenyataan hari ini.

Semalam Wan Ahmad Fayshal membuat laporan polis menuntut siasatan dilakukan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Guan Eng berkaitan isu pelepasan cukai Yayasan Albukhary.

Laporan tersebut dilakukan berikutan penafian Guan Eng yang merupakan Menteri Kewangan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa bertanggungjawab membatalkan status pengecualian cukai ke atas yayasan tersebut.

Wah Ahmad Faysahl juga mendakwa, penjelasan Anwar bahawa Menteri Kewangan tidak mempunyai kuasa campur tangan dengan keputusan Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengikut Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967 sebagai mengelirukan Dewan Rakyat.

Sementara itu Guan Eng berkata, tindakan Wan Fayshal membuat laporan polis menunjukkan pemimpin Bersatu itu jahil dalam percukaian.

“Saya tidak melihat fail Yayasan Albukhary semasa saya menjadi menteri kewangan dan tidak berada dalam kedudukan untuk memutuskan sebarang rayuan kerana tiada satupun dibuat oleh Yayasan Albukhary kepada saya.

“Jelas sekali tiada pembatalan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary semasa saya menjadi menteri kewangan. Ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat sebarang pembatalan sama sekali terhadap status pengecualian cukai Yayasan Albukhary seperti yang didakwa Muhyiddin.

“Jika ada pembatalan sedemikian, maka ia hanya boleh dilakukan semasa tempoh Muhyiddin sebagai perdana menteri,” kata Guan Eng.

Tambahnya, Wan Fayhsal perlu memujuk Muhyiddin untuk menunjukkan surat pembatalan yang dibuatnya sendiri kepada Yayasan Albukhary.

Jika Muhyiddin gagal maka Wan Ahmad Fayhsal dan Pengerusi Bersatu itu telah membuat dakwaan kosong yang tidak berasas dan palsu.

Sementara itu Guan Eng juga mendakwa Wan Ahmad Fayhsal jahil berkenaan sesi parlimen.

“Wan Fayhsal salah kerana cuba membawa polis ke prosiding parlimen. Jelas sekali beliau sama ada tidak menghormati atau memahami prinsip keluhuran parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan kita.

“Polis atau mana-mana cawangan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menceroboh atau menyiasat perkara yang dibincangkan di parlimen. Perkara parlimen hanya boleh diputuskan oleh parlimen dan jika ahli parlimen berbuat sebaliknya menunjukkan dia tidak layak menjadi ahli Dewan Rakyat,” kata Guan Eng.-MalaysiaGazette