Asap berkepul-kepul dari sebuah unit kediaman Kinrara Court yang dibakar. foto Ihsan IPD Serdang.

SERDANG – Gara-gara berang dan tidak puas hati kerana diikat dan dikurung oleh kawan di dalam rumah kerana meracau dan buat bising, seorang lelaki warga asing yang khayal di bawah pengaruh dadah bertindak membakar rumah tersebut.

Bagaimanapun, suspek berjaya keluar dari rumah itu dengan selamat.

Kejadian yang berlaku Kinrara Court Taman Kinrara, Bandar Kinrara lewat petang semalam mencetuskan panik dalam kalangan penduduk di situ.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan berjaya menahan suspek.

“Siasatan mendapati lelaki berusia 34 itu berada dalam keadaan mabuk, disyaki punca berlakunya kebakaran tersebut.

“Siasatan lanjut mendapati dia telah diikat dan dikurung di dalam rumah yang didudukinya bersama rakannya. Dia yang marah berjaya melepaskan diri dan membakar rumah itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Seorang lelaki Indonesia di bawah pengaruh dadah ditahan polis selepas membakar rumah kerana berang dikurung di dalam bilik rumah oleh rakan serumah.- Ihsan IPD Serdang

Tambah Anbalagan lagi, lelaki itu tinggal bersama dua lelaki dan dua wanita serta seorang kanak-kanak di rumah berkenaan.

Jelas beliau, suspek dikatakan telah mengambil dadah jenis syabu yang menyebabkan dia khayal serta meracau hingga menganggu rakan-rakannya lain.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat menggunakan bahan letupan atau bahan api yang boleh menyebabkan kerosakan harta awam.

Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette