Orang ramai tidak melepaskan peluang melihat antara pakej haji yang ditawarkan pada Karnival Pengelola Jemaah Haji 1444H/2023 di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA, Sepang. Foto HAZROL ZAINAL, 25 MAC 2023.

SEPANG – Kerajaan mencadangkan kepada pengelola jemaah haji (PJH) yang telah dilantik untuk menawarkan Pakej Haji Rahmah di bawah RM50,000 seorang kepada bakal jemaah haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, saranan itu bagi memberi peluang kepada rakyat menikmati harga yang lebih berpatutan.

“Kita lancarkan juga Pakej Haji Rahmah yang mana saya sebut kepada 23 pengelola haji terlibat untuk dapatkan satu pakej bawah RM50,000.

“Alhamdulilah, saya tadi sudah pergi 23 gerai pameran terlibat dan kesemua wakil PJH menyambut baik saranan itu dengan menawarkan pakej haji seperti RM43,000 serta RM45,000.

“Kita harapkan dengan tawaran yang diberikan ini dapat lebih ramai jemaah haji bukan sahaja tahun ini tapi pada tahun akan datang dapat mengambil tawaran ini, insya Allah,” katanya selepas  merasmikan Karnival Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang julung kali diadakan di Hotel Movenpick, di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berucap pada Karnival Pengelola Jemaah Haji 1444H/2023 di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA, Sepang. Foto HAZROL ZAINAL, 25 MAC 2023.

Tegas Mohd Na’im, kerajaan juga akan memberikan komitmen dalam memastikan urusan dan perkhidmatan haji yang diberikan kepada bakal jemaah yang pergi secara muassasah dan pakej, pada setiap musim pada tahap terbaik.

“Kerajaan memandang serius kes penipuan membabitkan rakyat Malaysia yang ingin menunaikan ibadat haji dan kami bekerjasama dengan Tabung Haji (TH), polis serta syarikat berdaftar bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menangani hal itu,” jelasnya.

Mengulas mengenai penganjuran karnival PJH, beliau akan menjadikan karvinal itu sebagai acara tahunan dalam memastikan bakal jemaah dapat mengenali lebih rapat pengelola haji yang terlibat.

Selain itu, Mohd Na’im juga bercadang untuk menganjurkan karnival pengelola umrah bagi mengelakkan isu penipuaan menunaikan umrah dan haji pada umat islam di negara ini.

“Seperti sedia maklum banyak berita yang menyebut tentang bakal jemaah haji yang ditipu oleh agen atau agensi yang tidak bertanggungjawab.

“Bagi menjamin kualiti perkhidmatan, setiap lantikan pengelola jemaah haji telah melalui proses penilaian dan saringan serta standard tertentu, barulah lesen diberikan,

“Susulan itu, kami mengharapkan jemaah dapat mengenali lebih erat pengendali haji menerusi karnival ini sekali gus berupaya mengurangkan penipuan yang sering berlaku sebelum ini,” ujarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar (tengah) melawat gerai pameran pada Karnival Pengelola Jemaah Haji 1444H/2023 di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA, Sepang. Foto HAZROL ZAINAL, 25 MAC 2023.

Ditanya sama ada jumlah PJH akan ditambah pada masa depan, Mohd Na’im berkata, jumlah itu boleh ditambah selagi ia memenuhi syarat ditetapkan TH dan tidak kompromi dari segi kualiti.

“Saya tidak nampak masalahnya, yang penting mereka (PJH) memenuhi syarat ditetapkan. Lebih banyak, lebih bagus kerana apa yang penting, pengelola PJH ini bertanggungjawab.

“Kita tidak mahu isu dimana mereka (bakal jemaah) ditipu dan sebagainya. Kita mahu minimumkan isu itu dan menghalang sebarang kemungkinan berlaku,” kataya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Cakap kosong je ni, dah buat laporan kepada Motac, sampai sekarang tiada tindakan, laporan kepada Tribunal pun dah. Sampai sekarang tiada response dari MOTAC. Laporan dibuat 24/2/2023 MOTAC.005260.

Comments are closed.